Friday, December 3, 2010

bahagiaku..untukmu...

kerana kasih...
aku tak akan melepaskanmu begitu mudah..
kerana dalam hati dan jiwaku
ku telah lama berjanji dan berharapkanmu

kerana kau telah datang menemani hari hariku
dengan cinta dan jiwamu jua
sampai nanti
bila kasih bercerai badan
aku akan masih
mendoakanmu
kerana dalam fikirku
sarat dengan dirimu...
dalam bicaraku padaNYA
penuh dengan bayanganmu
kau buatku sentiasa sayang dan kasih
padamu...

sayang
usah senyum padaku
bila senyummu mengheretku
kepada kenangan yang panjang

sayang
usah hadiahkan bicaramu
bila bicara itu melelahkan nafasku
kepada leka nan kosong

sayang
usah melekat pada falsafahmu
bila fikiran itu menghujahkan rindu
yang sebenarnya telah melepaskanmu
dari kenangan yang panjang
dan kerana cinta
kau akan kembali jua nanti
biarpun peganganmu berlainan
dan jauh dari jangkauanku

rindu

Thursday, October 14, 2010

9 bulan, menatang kasih..

Tuhanku
kala aku meniti usia
aku terus meminta
kerna ku tahu KAU tidak pernah menolak hajat hambaMU
Kini KAU kabulkan doaku
setelah sekian lama menanti
ku kira 8 tahun itu lama
bagi insan kerdil ini

sebenarnya tidak
yang kukira lama itu sebenarnya peluang
yang kukira bertahun itu sebenarnya masa
yang kukira berkurun itu sebenarnya rezeki
yang kukira belum waktu sebenarnya doa ...

dan kini kau tiupkan roh dalam diriku
KAU aturkan benih2 cinta kami
KAU temukannya
KAU tempatkannya di tempat
yang penuh kasih sayang
moga ia menjadi benih yang berkat
kerana aku tuturkan firmanMu padanya
kerana aku doakan kasihMu padanya

Tuhanku,
sempatkah aku melihatnya
dan mendengar tangisan pertamanya

kan kucuba menatang kasih ini
kan kucuba membendung sepi dan sunyi di hati
ini
bilamana kekuatan menghela nafas nan panjang
menjemput sayu nan datang
dengan 
syukur dan senyum yang lebih lapang... 

Thursday, October 7, 2010

aku tak tahu

semalam
seorang anak datang kepadaku
mahu bertanya padaku
tentang profesionalisme....


aku berdiam diri
dan melihatnya berkerut di dahi..
mungkin susah untuknya mencari erti
erti yang akan disampaikannya nanti
ini memberikan seribu persoalan
adakah wajar diulas
atau akan putus begitu sahaja


aku berdiam lagi 
dan melihat anak itu bermain dengan memori

tiba-tiba
dia menjadi berani
dan di dadanya ada ombak yang susah untuk dimengerti


anak itu bertanya padaku
yang aku sendiri tidak tentu
akan mampu menyediakan jawapan yang jitu

tanyanya padaku
adakah boleh jika seorang guru
melihat dan menyahsekutu lain guru?
aku berdiam lagi
dalam benakku..aduhai anak.....
mengapa begini soalmu...
besar makna dan erti semua itu..
aduhai guru itu...
mengapa pada anak ini kau luruhkan
etikamu
mengapa pada anak ini kau putuskan
tanggungjawabmu...
adakah kau tak punya siapa
untuk menyampaikan isi hatimu...?
lantaran anak ini kau lihatkan sikapmu.....


aku tak tahu..
puasku berdiam membentuk senyum dibibirku.
mencari doa
mencari jalan penyejuk hati...
aku masih tak tahu...
yang ku tahu 
guru itu
dan 
guru itu
punya sikap yang sama!
lantas aku bisikkan pada anak itu
tunggu
tunggu hingga dirimu
cukup dewasa untuk 
menjadi sebahagian darinya..
kau akan tahu jua suatu waktu..
kerana
aku tak tahu...
bagaimana menjelaskannya padamu...
kerana ku takut akan jadi
seperti itu..
maafkan aku...

Tuesday, September 14, 2010

kala malam hati berkata

ingin kupinjam waktumu
untuk dekat padaku
untuk aku nyatakan
dalam bisikan yang ingin kusampaikan
padaMU
ini
ada rahsia yang dalam

aku
tahu masaku makin sempit
aku 
tahu ruangku disisiMU makin jauh
dan dalam sendu ini
aku mahu bersamaMU
meniti usiaku yang telah lama 
KAU berikan kesempatan
walau kasih dan sayangku
belum kubuktikan cintaku
pada dia 
pada dia jua
dan pada dia yang di sana 
namun aku tahu
KAU lebih tahu segalanya..
aku telah meminjam dia dariMU
aku telah cuba
memeliharanya sebaik
manusia biasa seperti ku
tidak seperti Khadijah
tidak seperti Aminah
tidak seperti Aisyah ....

dan 
kala malam hati berkata
aku telah mencuba....

Friday, September 10, 2010

Lebaran ini sepi..

setahun lagi..
ini rezekiku, menyambutmu datang
ini rezekiku, menyambut kemenangan
dalam gelora
meneka puasaku adakah diterima
menoleh semalamku
adakah telah ranum di atas sana...

gemerlapan cahaya bunga api
menerjah hening malam
memberi tawa penuh ceria
pada anak anak kecil di hadapanku
tanda sudah sedia
meraikanmu lebaran...

namun hati ada memori..
namun hati ada sepi..
bila menoleh kepada ibu
dalam riuhnya.
hatinya sepi
bila menoleh kenangan semalam
bila ayahku masih ada....

Wednesday, September 8, 2010

rindu

sesekali
rindu yang amat besar datang
menyapa wajahku
rindu yang cukup 
siksa untuk aku lalui
rindu yang cukup
resipi manis dan indahnya

sesekali
terasa sangat ingin
aku jemput rindu 
datang menghampiriku
untukku tanya apakah tujuannya
menghampiri permaidani hatiku

sesekali
aku meminta ia 
supaya tidak pergi meninggalkan
ku sendiri..

ruang ini cukup sempit bagiku
kala rindu
datang bertamu
dan
bila ia pergi
aku jua nan sepi menanti
berdiri di balik bayangku sendiri

rindu
rindu mengajarku makna memahami
tak pernah sekali punpergi
tanpa meninggalkan erti

kini rindu itu datang lagi....

Tuesday, September 7, 2010

bersalahkah aku melihatmu begitu....

salam...
Ya Allah...
terimalah doaku ini
terimalah walaupun sangat jauh 
untuk kugapai cinta dan kasihMU
bila nan kucari
telah tiada
pada anak anak ini Ya Allah...

berulang kuputarkan namaMU
Ya Allah..biar penuh fikiranku dengan namaMU
biar nanti aku akan dapat mengulanginya
ulang dan terus ulang..
kerana aku sedang bersedih...
kerana hatiku sedang hancur.
aku gagal memberikan peringatan yang kuat
buat anak anak ku Ya Allah...
kerana mereka yang kusayang 
bukan lagi mereka yang dulu...

anak anakku ini dulu
kukagumi walaupun kecil tetapi manis
kututupkan kepala mereka dengan sayang
yang panjang
dan ikhlas
telah ku berikan sepenuh kasih sayang
biarpun sesekali kulupa
yang aku telah percaya
mereka akan kekal seperti itu..
rupanya .....
kerana ku sangkakan
pengalaman dan perjalanan dunia
telah mendewasakan mereka..
dan mereka semakin dewasa..
namun....

Ya Allah ya Tuhanku
kini kuserahkan dia padaMU
dia telah kembali kepada keluarga
dia telahpun pulang
lama dulu
dan dia tak akan kembali menemuiku
dia telah ada dunianya yang besar
dan seperti mentari kilauannya
dia akan terus silau dengan cahaya
dia akan terus lepas dalam lagu lagu dunia
dan aku hanya melihatnya..

mampukah kulurutkan
jemariku
menulis kembali padanya
mampukah kuutus salam buatnya
mampukah ku
tiupkan semula nasihatku untuknya YA Allah
agar kembali seperti dulu
menutup kepalanya
membuang kegirangan sementara di dunia ini
yang sedang kulihat dia bahagia dengannya.
Ya Allah kuatkan aku melihatnya begini..
Ya Allah jangan parahkan hatiku mengenang
kembali saat indah itu...


beranikan diriku YA Allah
menegurnya kembali dengan lembut
menyapa hatinya kembali dengan sejuk
memeluknya semula dengan erat
agar tak perlu kuungkap
ayat itu..
biar dia tahu 
dalam eratnya pelukanku
aku sedang menangisi dirinya
dan mendoakan perjalanan
hidupnya agar dia kembali
mengingatiMu Ya Allah......


Ya Allah..
bersalahkah aku melihatnya begitu...?

Monday, September 6, 2010

cikgu....untuk rakan rakan seperjuanganku

cikgu....
telah berbait sajak dihadiahkan untukmu
malah dari buku
dan luahan hati pelajarmu...
telah cukup memenuhkan
hati dan ruang kerjamu..

kutahu kelesuan kadangkala menjenguk hari harimu
kutahu kesepian sering melanda dirimu
kutahu resah gelisah acap meredah belantara fikirmu
kutahu jua
berserah padaNYA sering menjadi pengubat
lukamu...

cikgu
kau luka bila dia lemah
menghadapi kertasnya
cikgu
kau ingin mengulang masa
jika dia masih suram
menghafal dan memahami ajaranmu
cikgu
kau mahu menyulam
markah yang indah buat dia
tapi sesekali apa dayamu cikgu
dia telah begitu...

kini
cikgu
kau diduga
bila ujian untuk dia
anak didikmu
semakin hampir
dan semakin itu
hatimu gundah
tiada tempat meluah rasa
kerana semua cikgu begitu perasaannya
kerana semua cikgu sedang dipandang
dijeling
diintai 
oleh
seorang pengetua....
dan timbalannya..
oleh
seorang umi
seorang abi
yang mengharap tunjuk ajarmu
akan menjadi bunga yang hebat warna dan baunya


ahhh
jika silap perhitunganmu cikgu
dikau jua yang akan salah
dikau juga yang akan ditanya
dikau jua yang akan dijadikan alasannya...

namun cikgu
jika hebat perkiranmu
dikau jua akan dilupa
dikau jua akan dilihat paling akhir
mengisi nama
melakar bahagia
untuk semua

namun...kau akan tetapkan terus perjuanganmu
untuk kesekian kalinya
jatuh dan bangunmu
tiada siapa yang tahu

cikgu,
dia akan pergi jua 
meninggalkanmu
di sini terus menanti
kehadiran dia yang lainnya
bagi kau mengulangi
rasa resah
rasa rindu 
rasa bersalah
rasa tidak kecukupan..
rasa dingin yang panjang...
rasa hebatnya dalam jiwa
semata mata kerana dia....

cikgu..
jika dia lahir sebagai jaguh
kaulah pendorongnya
cikgu 
jika dia pergi dengan payah...
doakan dia..
usahalah menghampirinya
sering memberikannya nama
memeluk erat hatinya
agar dia rasa dekat denganmu cikgu
agar dia rasa kaulah dunianya...
agar dia tahu
kaulah
tempat dia meluah rasa
dan rasa percaya..

kerana semua itu cikgu
akan ada tempatnya dimata dan hati
Allah swt
kerana semua itu cikgu
akan ada balasannya
kelak di arasy sana..
janjilah untuk ikhlas
menemui dia pelajarmu cikgu..
kerana Allah bersamamu ...


Thursday, September 2, 2010

Bicara Untukmu Teman (2) - Jihan dan Miza

Salamku jauh untukmu
duhai adikku
diri ini rindu
sekian lama tidak bertemu


miza .., jihan
terima kasih
telah kuurus diriku
dalam terpinga
aku bertemu denganmu
dalam semangat
aku menerima kunjunganmu
dalam sunyi berjalan merentasi taman
kau datang menyapaku


dan kita berteman


jihan .., miza..
kini mungkin kita
akan bertemu di sini sahaja
kerana putus sudah kata
mencari alamat sendiri
setelah tiada lagi ruang
untukku bersamamu


kudoakan kejayaanmu
kudoakan keikhlasan dan kebahagiaanmu
kutitipkan rindu dari jauh ini
untukmu
terima kasih
wahai teman
kehadiranmu mengajarku
makna pengorbanan


terima kasih

Wednesday, September 1, 2010

aduhai ketuaku....

rasanya seperti
ingin tertawa
ingin tersenyum
namun mampukah aku
menahan air mata dan rasa hiba
bilamana
seorang ketua
menghambur rasa marah dan umpama
halilintar
menusuk terus ke hati dan perasaan mula luluh

kerana ku tahu
itu bukan aku
itu bukan diriku yang silap
meneka waktu
yang silap menumpang gembira

kenapa tidak dia
kenapa tidak orang itu
yang menjadi
alas setiap acara
kenapa mesti diriku

kerana ku hampir
kerana hatiku mudah cair
dan dirimu akan puas
kerana dirimu ketua

sesekali hati hancur mencipta
dan meneka
apa yang telah berlaku

nanti
jangan datang lagi padaku
kerana diriku bukan tempatmu
melepaskan amarahmu
melepaskan dendammu
melepaskan sepimu
selama ini kubiar diriku
menjadi debu dan bangun semula
untuk diri sesiapa saja
yang kau tidak setuju

diri ini tak mampu lagi
berhadapan denganmu
tak mampu lagi menerima
tujahan bahasamu
diriku tahu
siapa aku kini

pedih benar rasa

temanku..ini bicaraku untukmu (1)

adikku
usah tersenyum padaku
jika ia bukan dari hatimu
tidak mengapa
kerana aku telah redha dengan keputusanmu
tidak mengapa
kerana aku telah faham sikapmu
tidak mengapa
kerana aku sangat menyayangimu

temanku..
aku tahu sukar untuk
melalui saat ini..
telah kuutus pelbagai nota
atas rasa dan cinta
telah kutitip puluhan
nota dan pesanan
dan akau menerima keputusanmu ini
usah tersenyum padaku
kerana kulihat kau terpaksa melakukannya
apalah makna
tiada lagi

kuserahkan kepada Allah jua
agar aku terus diberi kekuatan

untuk meniti hariku di sini
tanpa ku tahu
apakah saatnya
aku akan pergi
kerana aku juga tidak tahu
apakah makna
sikapmu itu
apakah maksud senyummu

teman
aku doakan kebahagiaanmu
bahagia yang kau cari
semoga bertemu
doaku tetap seperti dulu
seperti kita pernah tersenyum dan ketawa bersama
tetap seperti dulu..

namun kali ini
aku memilih untuk pergi
membiarkanmu
kerana kau punya hidup yang sedang mekar bahagia
tanpaku bersama

terima kasih atas segalanya
diri ini tetap sayang padamu
kerana kau telah kuanggap lebih dari keluargaku..
kerana kau punya rahsia...

Monday, August 30, 2010

untukmu pelajarku 2 - Jihan

Dear jihan…



Dirimu


umpama kuntuman anggerik yang sedang mencari sinar mentari..
andai satu hari anggerik ini sepi dan tidak tersenyum….
seluruh alam akan turut bersamanya..


Jihan dear…
umpama waktu yang sering datang, berulang lantas menghilang…
begitulah kehidupan kita…
kita umpama laut dan damainya pantai yang sering berubah dengan masa…
berubah dengan ketentuanNYA jua…


Andai angin dan hujan yang tiba dalam dirimu ini mengajakmu untuk bersedih…
biarkanlah ia surut ..
kerana ia akan pergi jua
dan senyuman anggerikmu akan tiba menjengah hidupmu yang baru…


Andai kesayuan dan kesepian melanda dirimu kala ini…
jadikanlah ia alunan irama yang mendendangkan lagu buatmu…
lagu itu sebenarnya penguat semangatmu…
dan kala ini jua dear Jihan..
anggerik itu perlukan pendengar yang setia…
Allah swt akan menjadi temanmu sepanjang usia …
ucapkan salammu padaNYA dan DIA akan menjawab salammu dengan lembut .
lebih lembut dari segalanya…,


Bertemulah denganNYA dalam solatmu dan luahkanlah ceritamu …
DIA akan mendengar dengan segala kesetiaan ….
dan jiwamu akan tenang kembali…


Bila sedar nanti…
ucapkan kemaafan dalam hatimu..
dan lapangkan dadamu seperti lapangnya hamparan laut nan biru….


Bahagialah hidupmu wahai anggerik..


kelak nanti keceriaan akan tetap menjadi milikmu….

untukmu pelajarku 1 - Ikin

Dear ikin…



Andai kesedihan itu menjadi bicara yang tidak terungkai…teruskanlah tangisan itu ..


Hingga hati puas dan fikiranmu mula mencari makna tangisan itu…
Kemudian ikin perlu bangun semula membenarkan keadaan
Dan mencapai semula kekuatan yang semalamnya ada bersamamu…
Pagi nanti…
biarkan burung yang mula sedar dari mimpinya menyanyi di siang hari..
mengejutkanmu untuk terus berusaha manambahkan kecekalan hatimu …


Ikin..,
kalau ada padang yang terang…isikannya dengan kehijauan rumpai nan biru dan sentiasa tabah walau dipipihkan …


Ikin..,
kalau ada langit yang cerah…
dongaklah dan bicaralah bahawa aku akan tetap berdiri melihat kebiruanmu dan keluasanmu
memberikan aku keuatan dan kesabaran…


Ikin dear…
ingatlah Allah swt sentiasa mendengar keluhanmu…
mengadulah kepadaNYA..DIA akan tetap mendengar dengan setia…..




Ikin…,
andai jatuhnya perasaanmu..
anggaplah ia umpama dirimu yang sedang ditimang bayu dan angin laut nan lembut…
mengajakmu merasai bahawa hidup ini akan indah jua jika tawakal dan iman menghiasi dirimu……
Bayangkan bunga yang kembang memayungi sitiap perjalananmu…
wanginya akan kekal bersamamu di sepanjang perjalananmu ….
dan walaupun satu hari bunga itu akan layu..
dirimu tetap segar dan harum dalam doanya….




Ikin dear…
dirimu ialah bunga …
dirimu ialah santun dan sopannya seorang anak dan srikandi yang telah dewasa…
belajarlah untuk teruskan ketabahanmu…
dan ikin akan tenang kembali merasai jiwa yang sedang bahagia….


Tetapkan hatimu wahai srikandi……

Sunday, August 29, 2010

salam untukmu harilahirku

semalam..
aku pernah menangis..
melihat ibuku payah dan jerih
setelah menjagaku
di dalam rahimnya
aku datang melihat dunia..

semalam...
aku menangis lagi
pertama kalinya
aku dipinjamkan
dengan tawa ceria anak anak pelajarku
kali ini mereka melihatku menginjak tua
dan mereka meraikannya dengan gembira
tanda mereka sayang padaku

semalam
setiap langkahku disapa manja
dengan senyum yang sangat manis
mengucap salam dan mengucapkan
ucapan indah yang  ingin didengari oleh guru
dari pelajarnya

mummy harap ia ikhlas dari hati
kerana selepas ini mummy akan pergi
meminjam kenangan yang kalian akan berikan
pedih di hati teramat
bila mummy akan berterus terang

semalam dihari lahirku
paling indah selepas 11 tahun
perjalananku di sini
adakah ini tanda
sudah berkahir perjuanganku di sini
maka terlalu indah kurasa

terima kasih sekali lagi
tidak terucap dengan kata
tidak tergambar dengan hati dan perasaan ini
cuma ia diam dan mekar di dalam hati
walapun kurasa sangat sunyi
namun ku tahu
gelak tawamu akan
menemaniku nanti....

moga Allah rahmati perjuanganku di sini
moga Allah tersenyum melihat perjalananku di sini
moga Allah merahmati jiwaku selama di sini...
amin
dan aku akan pergi

Friday, August 27, 2010

since 99 to 2010..pelajarku sebahagian dari duniaku

masa berlalu dengan
seribu kepantasan
bait bait kenangan telah banyak berciciran
dan pelajarku telah menjadi teman
dan rakan seperjuangan

pelajarku..,
sukar diungkap
terlalu banyak bagai buih di lautan
kasih sayang mummy
tidak akan pudar
andai mummy terpinga mengingati namamu
maafkan mummy
peluklah mummy
dan mummy akan kembali mengingatimu..
besar sungguh perasaan ini
perasaan seorang guru untuk anak didiknya
besar sungguh laluan 
jika kumampu membariskan nama-namamu

aku pernah menangis keranamu
aku pernah tercicir keranamu
aku pernah terluka keranamu
aku pernah disisih keranamu
tidur malamku pernah bermimpikanmu
air yang kuminum pernah tumpah
kerana leka mengenangkan nasibmu
seleraku pernah hilang kerana
tugasku belum selesai untukmu...

jiwaku pernah pilu dan sepi
mengenepikan diriku sendiri
untukmu duhai pelajarku

kini 
aku sepi nan benar
andai laut itu bisa menegurku
akan kulawatinya saban waktu
andai angin yang baru tadi menyapaku
bisa menerbangkan anganku
akan kuterbang bersamanya
agar aku mampu mengingati wajah wajah manismu

aku bahagia
sangat bahagia di dalam hatiku
kala bulan itu tersenyum dan warnanya amat gemilang
aku tahu kalian semakin cemerlang
aku bahagia
dan kebahagiaann ini tak mampu kusuarakan
bilamana kulihat
dirimu sudah berjaya
menempuh hidup yang sukar
mencari makna dalam perjalananmu

duhai sayang mummy..
andai sesekali hatimu terluka
pesankan pada angin lalu
dan 
aku akan hadir menjenguk malammu...
aku akan hadir memelukmu
dan memberikanmu semangat yang baru ...
usahlah putus harapan
yakinlah sayang
setiap kali dirimu diduga
anggaplah dugaan itu
sebahagian dari kasih sayangNYA untukmu
anggaplah ia akan mendewasakan dirimu..
dan
rasailah ia agar satu hari kau akan lebih
kuat menghadapi apa sahaja..

sayang mummy,
dalam doaku, dirimu
sentiasa ada ... 
ada dan terus ada..
hanya itu yang aku mampu hadiahkan
andai senyumku tiada lagi kau lihat...
ingatlah
aku telah menerima jemputanNYA
dan disisiNYA 
aku
ingin bersemadi
meninggalkan kenagan yang indah bersamamu
pelajar-pelajarku

ingatlah sayang..
jangan lukakan hati semua gurumu
maafkan tiap bicaranya
maafkan tiap tindakannya
kerana dia sedang mengajarmu
erti kehidupan
kerana dia sedang membelaimu
dengan perasaannya
kerana dia juga manusia biasa
seperti dirimu...
ingatlah sayang..
usah kau ungkit kelalaiannya
usah kau doakan sepi untuknya
guru adalah ibu 
guru adalah bapa
guru adalah keluarga
bila kau perlu 
guru akan ada
bila kau sedang kesempitan hati dan fikiran
guru akan ada bersamamu...
belailah jiwanya sayang ..
kau akan bahagia
dan kau akan membahagiakannya...

terima kasih sayang..
bersamamu memberikan aku
seribu makna dalam kehidupan
selayaknya aku menjadi insan kerdil yang memerlukan dirimu..
dirimu adalah amanah yang sangat besar...
untuk kukenang hingga akhir hayatku..

sehari lagi puasaku

tadi 
dalam perjalananku
meminta izin melewatkan pengajianku
mencari ilmu ini bukan 
sementara
bukan sederhana caranya
menuntut pengorbanan yang cukup besar
dalam idamku
ianya masih jauh
tadi
dalam rinduku menitipkan puteriku
setiap langkahku mengingatinya
setiap zikirku kusedekahkan untuknya

dan
tadi...aku telah membuat  keputusan yang 
payah dan sukar
antara ilmu dan tugas
jarak dan waktunya
menuntut pengorbanan yang sangat jelas
hari ini
bila tadi keputusan kuambil
dan kupasti
aku menarik diri
untuk pelajarku
untuk puteriku..

tadi
pengorbananku untukMu Ya Allah
menjadi lambang cinta dan kasih sayang
yang sebenarnya
sangat kudus..
kala aku menangis menatap masa
depanku
aku tahu peluangku tetap
akan datang
menegurku satu waktu nanti
mungkin tadi
adalah untuk satu waktu yang baru
mungkin tadi sebilangannya adalah untuk puteriku
untuk suamiku
untuk pelajarku
bukan untukku
dan aku percaya Ya Allah
KAU akan tetap bersamaku...

puteri ku..NUR AISYAH SAFIYYAH

comel mama
mama lihat kekuatan dalam dirimu..
mama lihat betapa ajaibnya
pemberian Allah
dengan melahirkanmu...

busyuk mama
atas cinta dan kasih sayang
atas keredhaan kepada ketentuan Allah
dirimu dihadiahkan kepada kami
dalam hujan yang dalam
dalam sepi yang memanjang
dalam saat yang sukar
kau lahir dengan tanda di tanganmu
kau lahir dengan senyuman di bibirmu...
lantas tiada air mata yang dapat mama tampungkan untukmu
tiada ucapan yang lebih besar dari ALHAMDULILLAH
mensyukuri pemberian Allah...
lahirmu memberikan warna yang penuh makna dalam hidup kami

sayang mama
melihat kau membesar adalah rezeki yang kami ada
rimbunmu di dalam taman kami
adalah syukur yang tidak dapat diungkapkan
petah dan bijaknya dirimu
adalah dugaan yang kami janji untuk tempuhi
telah kami serahkan jiwa dan raga
untuk memeliharamu
memeliharamu dalam agama
memeliharamu dalam adab
memeliharamu dalam kesetiaan

dan kini
kau semakin menginjak waktu
melalui zaman sekolahmu
melalui zaman berkawan dan berseteru
bila kau bercerita..
ia menjadi bab bab
penuh tawa
penuh emosi dan keceriaan
dan sesekali mama tidak dapat menahan
senyum lebar..
walau ketika memasak untukmu

dan kini
duhai Nur Aisyah
dirimu
menemani setiap tidur mama
melihatmu hanyut dalam mimpimu
adalah peneman yang paling setia
sebelum tidurku
mengucup dahimu
ku tercium harumnya keikhlasan tidurmu

sesekali
air mataku
mengalir
mengenang tadi siang
mama memarahi mu
lantaran kesilapan kecil
dan tiap kali itu berlaku
mama menyesali diri.......

duhai safiyyah
mama ingin meminjammu hingga akhir hayatku
YA Allah..izinkan aku
meminjamnya hingga akhir hayatku
hingga aku kau pilih untuk bertemuMu
kerana setiap masaku bersamanya
adalah masa-masa yang tidak pernah cukup..

suamiku..kau tunjang hidupku...

kita ditakdirkan bertemu
satu ketika
dan ketika yang terjadi itu
telah menemani hidupku selama ini
aku mensyukuri hakikat hidup bertemumu..

suamiku..
jika ada kuntuman bunga yang paling indah..
akan kugalurkan untukmu..
biarpun warnanya akan pudar
biarpun harumnya akan hilang
biarpun ia akan layu
namun doanya akan tetap mengiringimu..

duhai suamiku..
aku sering melupakanmu...
bila terjahan tugasku
sering mendahuluimu..
bila kegembiraan melonjak di perasaanku
sering membiarkanmu..
maafkan aku duhai suamiku..

kita diduga
untuk berjauhan begini
telah memberi aku kesempatan
untuk merinduimu
untuk mendoakan dirimu
untuk mengingati tiap detik dahulu bersamamu
untuk menghargai inci kenangan yang diberi untukku bersamamu
bila sesekali masa itu dikurniakan kepada kita

amanahmu
memelihara puteri kita
adakalanya tidak sebaik caramu
adakalanya tidak sesempurna belaianmu
namun tetap kugagahi jua
kerana dia semakin dewasa dan semakin indah pada rupa
kerana dia semakin pandai berbicara
kerana dia semakin bijak bermain perasaannya
kerana dia semakin memerlukan kasih sayang kita....
akan kujaga dirinya
lebih dari nyawa..
agar bila kau kembali
kau akan tersenyum melihat kami
tersenyum menyambutmu

Ya Allah...
telah Kau berikan aku kesempatan
merasai hidup bersama
insan yang Kau pilihkan
dengan mudah Kau berikan aku
sinar dalam hidupku
akan kutempuh dugaanMu ini
Ya Allah

meminjammu suamiku
walau untuk sekelumit waktu
memberikan aku ruang yang luas
meneroka alam baru
memberikan aku cinta yang dalam
untuk aku kongsikan
bersamamu..
ampunkan diriku..

bicara ini untuk ibu......

Dalam menongkah arus hidup...
kenapa ibu selalu ada...
sesekali disapa dugaan..kau tetap ada..
menemani walaupun sesekali hadirmu dianggap tak perlu..
adakalanya seorang anak melupakanmu..
dan apabila memerlukanmu..kau tetap ada..
tanpa jemu,
tanpa ragu,
tanpa dendam,
tanpa ada apa-apa yang akan menghalangmu dari melihat anakmu
bahagia...

ibu,
jauh di dalam hati ini..
kukenang semua dosaku padamu
kubuka hirisan kepayahan yang kuberikan padamu..
kuungkap seribu pengorbananmu..
yang aku lupa ..
kudratmu
memberikan aku hidup..
bertemu kejayaan dalam hidupku..
bertemu suami yang terbaik untukku
dan memberikanmu cucu
yang terindah pernah berlaku dalam hidupku...

ibu,
andai satu hari aku kembali padamu..
kau tetap akan menerima aku..
walau sekian lama kita tidak bertemu..
lembutnya pengorbananmu
sehingga aku lupa lagi dan terus lupa

ingin kubawamu bersamaku
mengisi semula kekosongan hatimu ibu
dari pagi hingga usiamu semakin senja..
kau tetap melayani
dan menemani anak-anakmu...

Ya Allah..
ibu adalah kehidupan yang amat mulia
semoga Allah akan memberikan aku peluang
membahagiakan perjalanan yang sekelumit tinggal ini
untuk membahagiakan
ibuku...

Thursday, August 26, 2010

PERMULAAN & BERBUKA DI J.B.

Assalamualaikum. Pembuka kata dan coretan Mummy.ini kali pertama menulis di Blog ni. Insyallah moga dikuatkan Allah untuk terus menulis di Blog ni.Berita + di akhbar hari ni utk kakitangan Awam..dapat bonus raya RM500.Alhamdulillah..Hari ni Mummy kena pergi ke J.B. Mummy kena settlekan deferment MPA ngan UTM esok..hai nasib baik Hubby duk J.B. sekarang ni. Boleh la tumpang kejap kat rumah dia dan melepaskan rindu..huhu.walaupun dia balik seminggu sekali. Puteri Mummy terpaksa kena tinggalkan kejap kat rumah Kak siti.(maafkan mummy Saf).selalu kena tinggal sebab Mummy selalu outstation..sian dia. Anyway hidup kena teruskan...